Monday, 17 July 2017

Rosli Dhoby, Pejuang Kemerdekaan Sarawak

SEBUT sahaja mengenai kemerdekaan yang dicapai Sarawak, nama Rosli Dhoby pasti dalam ingatan. Rosli Dhoby adalah anak jati Sarawak yang mula membangkit perasaan antipenjajah dalam kalangan rakyat Sarawak.


Semasa berjuang untuk menuntut kemerdekaan, usianya ketika itu 17 tahun. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British syahid di tali gantung pada 2 Mac 1950, telah dihukum gantung sehingga mati kerana membuat percubaan asasinasi Gabenor kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart di Sibu pada 3 Disember 1949.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morsidi Sidek serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching.


1Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan. Keempat-empat pejuang nasionalis itu dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor (kawan mereka yang juga berketurunan Melanau).

Kisah perjuangan Rosli bersama rakan-rakannya sebelum merancang asasinasi Sir Duncan Stewart telah banyak dipaparkan di dalam surat khabar dan majalah. Yang terbaru didedahkan di dalam buku berjudul ‘Rosli Dhoby Merdeka Dengan Darah’ tulisan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak, Dr. Jeniri Amir.

Sir Duncan Stewart
Rosli dilahirkan pada 1932 di Sibu dan menganggotai Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah British swasta, keluarga Sir Charles Vyner Brooke yang kalah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam pergerakan tersebut. PPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Brunei dan Melanau Sarawak diketuai Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu Perdana Menteri Sarawak pada zaman Sir Charles Vyner.

Sarawak dikuasai oleh penjajah swasta British Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke, iaitu Sir James, anak saudaranya Sir Charles, dan anak Sir Charles iaitu Sir Charles Vyner, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.

Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular dalam kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.

Rosli Dhoby ditangkap oleh pengawal keselamatan sejurus menikam Sir Duncan Stewart di Sibu pada 3 Disember 1949.
Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menyerang Sir Duncan dengan pisau tradisi yang dipanggil Badik. Rosli dan rakannya Morsidi Sidik, kedua-duanya ditangkap oleh polis British.

Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Pegawai British itu meninggal dunia tujuh hari selepas kejadian.

Ini ialah surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung.


Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada adik Aini.

6. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.

Al - Fatihah

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment