Monday, 17 July 2017

Matang diwarta kawasan wabak anjing gila


IPOH: Mukim Matang di daerah Larut Matang Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan wabak anjing gila atau rabies, susulan satu kes dilaporkan di kawasan itu pada 4 Julai lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pengisytiharan itu dibuat mengikut Subseksyen 39 (1) Akta Binatang 1953 (Akta 647), berkuat kuasa hari ini. 

Beliau berkata,  pewartaan itu dikeluarkan susulan kejadian dua kanak-kanak perempuan yang digigit anjing peliharaan keluarga mereka pada 4 Julai lalu. 

Katanya, kes itu dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada Khamis lalu mengenai anjing peliharaannya yang mati, lapan hari selepas menggigit anak perempuan dan anak saudaranya di Kuala Sepetang, Taiping.

Pemeriksaan lanjut mengesahkan anjing itu dijangkiti rabies.

"Tindakan ini memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengambil tindakan sewajarnya di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu dalam laporan Ketua Audit Negara, di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Zambry berkata, semua pergerakan anjing keluar dan masuk di kawasan berkenaan tidak dibenarkan kecuali atas kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri.   

"Mana-mana pemilik atau individu yang terbabit mengawal mana-mana anjing dalam kawasan dijangkiti hendaklah memastikan anjing dikawal dengan baik (mengurung) di kawasan tertutup dan sesuai serta mengikat anjing dengan selamat. 

"Jika ia dibawa keluar dari kawasan perumahan, mestilah menggunakan tali pengikat yang sesuai," katanya.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment