Wednesday, 17 May 2017

Tokei Judi Ada Kuasa Tukar Pegawai Polis


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kaitan dua orang awam termasuk seorang pengusaha pusat judi haram yang ditahan di Melaka berkaitan kes rasuah hari ini dengan pengurusan kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini kerana suspek terbabit didakwa mempunyai ‘kuasa’ untuk menukar mana-mana pegawai polis yang tidak be­kerjasama dengannya antaranya melibatkan pertukaran seorang Ketua Polis daerah yang sebelum ini dikatakan tidak mahu terlibat dengan aktiviti rasuah pusat judi haram dan rumah urut.
Kedua-dua suspek ditahan bersama tiga pegawai polis masing-masing dua berpangkat Deputi Superintenden dan seorang Inspektor.

Difahamkan, tiga pegawai polis terbabit meminta wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi dan rumah urut ha­ram di sekitar Melaka, malah turut memaksa pengusaha berkenaan membayar ‘wang perlindungan’ kepada mereka.

Sementara dua suspek (orang awam) bertindak sebagai orang tengah bagi melicinkan proses pengutipan wang rasuah yang dibayar sebagai wang perlindu­ngan bagi melindungi kegiatan-kegiatan haram yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha tersebut.

Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 41 tahun itu ditahan dalam satu operasi serentak bermula pukul 11 pagi ini di beberapa kawasan di negeri tersebut.

“Operasi yang dilancarkan adalah hasil daripada maklumat yang diperoleh SPRM daripada orang ramai berhubung paksaan oleh beberapa pegawai polis untuk membayar wang rasuah dan setakat ini antara pegawai polis yang dipercayai sering terlibat terdiri daripada mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jasin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

Tambahnya, kesemua suspek dijangka akan direman di Mahkamah Putrajaya esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment